Sunday, 25 November 2012

Sehebat Durian


“Afiq tak nak balik kampung! Afiq tak nak tinggal dengan Atuk!” Afiq menghentak-hentak kakinya. Protes.

“Afiq, Afiq kena faham. Mama dengan Papa ada kerja penting yang kena diselesaikan. Tak lama pun, bulan Ramadan ni je. Nanti Mama Papa dah habis kerja, kita balik rumah. Ok?” pujuk Noriah. Mengusap lembut ubun anaknya.

“Kejap je Afiq. Nanti duduk elok-elok dengan Atuk. Jangan nakal sangat,” ujar Hakim.


Afiq membuat muka. Dia tidak ingin tinggal dengan datuknya. Atuk garang. Atuk tak bagi dia main PS2. Nanti dia kena ngaji dengan Atuk. Kalau salah sebut, sebilah rotan ada di sisi Atuk. Kena pergi surau. Huh! Kepalanya telah membayangkan keadaan dirinya nanti.

“Yah dah telefon Abah semalam. Alhamdulillah, Abah kata okay. Syaratnya, kita raya rumah Abah tahun ni. Boleh ke Bang?” ujar Noriah memandang suaminya. Mereka sedang berkemas.

“Oh, tu ke syaratnya. Tak de masalah. Alang-alang Afiq kat sana, kita raya terus la. Jangan lupa barang-barang anak kesayangan awak tu. Nanti susahkan Abah pulak kalau dia nak apa-apa,” Hakim mengingatkan. Isterinya cuma mengangguk.

Noriah turut mengambil mushaf Al-Quran anaknya. Dia teringat pesan Abah supaya bawakan Al-Quran Afiq. Afiq tak nak mengaji selain Al-Quran miliknya. Tangannya membersihkan habuk. Dia jadi serba salah. Dah lama dia tak ajar anaknya mengaji. Dirinya sendiri juga tidak istiqomah.  Allah…

Afiq berkurung di dalam bilik. Dia masih belum bersiap. Petang ni juga mereka akan balik kampung di Alor Setar. Tangannya mencapai pensil warna Faber Castel. Lalu mencoretkan sesuatu di atas kertas lukisan tersebut.

“Afiq! Dah siap ke? Cepat Afiq, kita dah lewat ni!” panggil Noriah. Dia membetul-betulkan tudungnya. Kelihatan Hakim memasukkan barang-barang ke dalam bonet kereta BMW.

Tak lama kemudian, Afiq keluar beserta beg belakang dan machine gun di tangan.
“La, buat apa bawak machine gun tu? Nak tembak siapa kat kampung?” tegur Hakim sebaik sahaja melihat kelibat anaknya.

“Tembak segala jenis binatang yang kacau Afiq. Sebab tu Afiq tak suka balik kampung,” protes Afiq. Marah.

“Termasuk nyamuk?” ujar Hakim ingin menguji.

“Haah. Termasuk nyamuk. Sape suruh gigit Afiq…” balas Afiq memuncungkan mulut.

Noriah dan Hakim saling berpandangan. Tersenyum melihat karenah anak tunggal mereka. Sebaik sahaja barang-barang dimasukkan ke dalam bonet dan servis kereta dilakukan, mereka terus bertolak. Lalu kereta BMW meluncur laju menuju ke Lebuhraya Alor Setar.

*****

“Abah, kami minta maaf. Terpaksa minta tolong Abah tengokkan Afiq. Susah nak buat kerja kalau bawak anak sekali. Nanti kita raya sama ye Abah,” ujar Noriah. Dia menuangkan teh panas ke dalam cawan.

“Abah bukannya apa. Kamu berdua ni sibuk sangat Abah tengok. Anak kamu ni dah pandai solat ke belum? Hari tu tergagap lagi dia mengaji dengan Abah. Kamu tak ajar anak kamu ke Yah macam Abah ajar kamu?” ujar Pak Jamal. Melihat anak perempuannya yang telah menunduk memandang lantai.

“Bukan salah Yah sorang je Abah.  Saya pun salah juga. Tapi ada juga kami minta sorang ustazah ni datang rumah, ajar Afiq tentang ilmu agama,” ujar Hakim membela isterinya.

“Tugas didik anak bukan terletak di bahu orang lain. Bahu mak ayah. Ajar asas agama masih tugas mak ayah. Bukan tugas ustazah. Kamu kena tahu tu, Noriah, Hakim. Macam mana nak anak jadi soleh kalau mak ayah tak jadi qudwah?” ujar Pak Jamal. Kesal dengan sikap acuh tak acuh anak menantunya dalam mendidik anak. Kelihatan kedua-duanya menunduk. Di beranda, kelihatan Afiq bermain game kegemarannya.

“Ha, kamu tidur sini ke malam ni? Bila bertolak ke Indonesia?” tanya Pak Kamal menukar topik.

“Tidur sini Abah. Pagi-pagi esok kami dah kena bertolak,” balas Hakim apabila melihat isterinya hanya diam.

“Eloklah tu. Noriah, kamu masak untuk makan malam boleh? Dah lama Abah tak rasa air tangan kamu. Abah teringin nak rasa masakan ayam masak lemak cili padi kamu, Abah rindu dengan masakan arwah mak kamu,” pinta Pak Jamal.

InsyaAllah, boleh sangat Abah,” ujar Noriah. Menguntum senyuman saat memandang Abahnya.

*****

“Afiq, nak ikut Atuk pergi kebun? Atuk nak pergi petik durian ni,” tegur Pak Jamal. Afiq yang sedang tekun menyiapkan kerja sekolah, terus bangkit sebaik sahaja mendengar perkataan ‘DURIAN’.

“Apa Atuk? Kita nak pergi petik durian?” tanya Afiq meminta kepastian. Matanya membulat. Pak Jamal hanya tersenyum. Tak lama kemudian, dia mengangguk.

Hoorey! Kita nak makan durian!” Topi Nike dicapai. Motor Modenas Kriss ditunggangi. Mereka terus menuju ke kebun di kampung sebelah.

“Atuk, Afiq nak tanya boleh?” ujar Afiq sebaik sahaja melabuhkan punggung di bangku panjang.

“Boleh. Afiq nak tanya apa?” Sebiji bakul telah penuh dengan durian. Ahmad, pekerjanya turut membantu.

“Kenapa durian ada musim? Kalau tak de musimkan, seronok. Hari-hari boleh makan durian,” ujar Afiq. Mulutnya sedang mengunyah durian. Habis seulas, seulas lagi dicapainya.

“Ha, sebab durian ada musimlah yang jadikan kita seronok nak makan durian. Kalau hari-hari musim durian tak special la. Sama macam bulan Ramadan. Ramadan datang setahun sekali. Sebab tu Ramadan adalah bulan istimewa. Bulan Allah perlipat gandakan pahala, ada malam istimewa yang mana kelebihan-kelebihan ni tiada di bulan lain,” jawab Pak Jamal. Sebij durian lagi dibuka.

“Ustaz pernah bagitau pasal Ramadan. Semua orang muslim wajib puasa. Tapi waktu buka, jangan membazir. Ustaz ada cakap, dalam bulan Ramadan ada Lai..Lai…”ujar Afiq cuba mengingat.
Lailatul qadar…” sambung Pak Jamal.

“Ha! Lailatul qadar! Betul. Pandai Atuk…” ujar Afiq tersengih-sengih. Mulutnya habis comot.

“Mestilah Atuk pandai. Sudah. Tolong Atuk kutip durian yang dah gugur. Kasihan Ahmad buat kerja sorang-sorang. Lepas tu, kita balik rumah. Malam ni ikut Atuk pergi surau,” arah Pak Jamal. Dia sudah bangkit lalu pili air dibuka untuk membasuh tangan. Afiq hanya akur.

*****

Surau An-Nuur
Allahumma balighna ya Ramadan, Allahumma balighna ya Ramadan, Allahumma balighna ya Ramadan. Hadirin sekalian, Kenapa kita kena berdoa dengan doa ni? Sebabnya, pada zaman Rasulullah SAW , beberapa bulan sebelum tibanya bulan Ramadan, para sahabat sudah rindu dengan Ramadan. Adapun setelah berakhirnya Ramadan, para sahabat menangis kerana mereka masih rindukan Ramadan. Lalu Baginda mengajarkan kepada para sahabat dengan doa ini, yang bermaksud, ‘Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan.’

Ada sebuah hadith menyebut, “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan, maka Allah SWT akan mengampun semua dosa yang telah dilakukannya.” Bahkan, Allah telah menyebut tentang kewajipan berpuasa ke atas muslimin di dalam Al-Quran yang bermaksud, “Wahai  orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, sangat jelas kewajipan berpuasa ke atas muslimin pada bulan Ramadan, yang mana kita diminta bersederhana dalam berbelanja dan berbuka. Penuhi waktu kita dengan beribadah kepada Allah. Sebaiknya, pasang azam nak khatam Al-Quran paling kurang sekali dalam bulan Ramadan. Ketuk setiap pintu kebaikan, berlumba-lumba buat kebaikan, bagi yang tidak boleh berpuasa, sediakan makanan untuk berbuka. Kerana barangsiapa menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa, pahalanya sama seperti orang berpuasa tanpa kurang sedikitpun. Iktikaf di masjid pada 10 malam terakhir. Sebab apa? Kita sama-sama nak dapat pahala Lailatul qadar yang mungkin kita akandapat sekali seumur hidup, InsyaAllah. Terlalu banyak amal yang boleh kita lakukan. Dengan itu, saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan. Sediakan persediaan yang rapi untuk kita sambut bulan istimewa nikerana mungkin ini adalah Ramadan yang terakhir buat kita semua.  Kita tutup majlis ilmu pada malam ini dengan tasbih kafarah dan surah Al-‘Asr.”

“Atuk, tadi Ustaz tu cakap pasal Ramadan kan Atuk? Ramadan lagi berapa hari?” Tanya Afiq. Dia terpaksa melangkah cepat supaya seiring dengan Atuk.

“Hari ni dah berapa Sya’ban? Cuba Afiq kira?” soal Atuk kembali.

Afiq membilang dengan jarinya.“25 Sya’ban! Maknanya lagi lima hari nak masuk Ramadan,” ujar Afiq semangat.

“Bagus cucu Atuk. Countdown untuk Ramadan. Jadi, kita kena bersedia dari sekarang.”

“Bersedia? Kena buat apa Atuk? Kena beli bunga api ke?”

“Kamu ni Afiq… Main saja kamu ingat. Dari sekarang, dah kena jaga solat, tilawah al-Quran, bangun qiamullail, berjimat dalam belanja, kurangkan makan. Ingat, mulai sekarang, Afiq kena mengaji dengan Atuk. Kalau salah sebut, denda apa?”

“Gulp..rotan?” Afiq menelan air liur. Dia jadi fobia dengan sebilah rotan tersebut. Perbualan mereka tamat sebaik sahaja kaki menjejak anak tangga rumah.

*****

Mulai detik itu, Afiq semakin rajin. Rajin ke surau mengikut Atuk. Baik untuk solat fardhu berjemaah mahupun solat sunat terawih. Rajin mengaji. Dia tidak ingin menjadi mangsa sebilah rotan dek kerana kemalasannya. Paling dia suka, pergi ke kebun. Tunggu durian gugur. Dia nak jadi sehebat durian. Dari luar nampak berduri, tapi isi durian manis. Begitu pun dirinya, dari luar nampak tahan lasak, tapi di dalam penuh ilmu dan berakhlak mulia.

“Sekarang dah masuk bulan Ramadan. Afiq boleh mula hafal juzuk 30. Esok, sementara tunggu durian gugur, Atuk nak dengar hafalan Afiq. Mula dari surah yang pendek dulu,” arah Atuk apabila melihat Afiq semakin tekun mengaji.

“Baik, Atuk. InsyaAllah Afiq cuba hafal,” ujar Afiq bersemangat. Dia menyambung tilawah Al-Qurannya.

Di kebun

Bismillahirrahmannirrahim.(1)Innaa anzalnahu fii lailatil qadr (2)Wa maa adrooka maa lailatul qadr(3)Lailatul qadri khairummin alfi syahr.(4)tanazzalul malaa’ikatu warruuhu fiihaa bi iznirabbihim minkulli amr(5)saaalamun hiya hatta mathla’il fajr.”

 Afiq mengulang hafalannya di depan Atuk. Atuk mengangguk beberapa kali setiap kali Afiq menyambung bacaannya.

“Alhamdulillah. Semakin baik bacaan cucu Atuk. Ada potensi jadi seorang Huffaz. Surah Al-Qadr, surah tentang malam Lailatul qadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Afiq tahu kenapa kita kena baca Al-Quran?” soal Pak Jamal memandang cucunya.

“Sebab ia adalah kalam Allah. Banyak cerita dan pengajaran dalam Al-Quran. Ada kisah para anbiya’, para sahabat, alam, makhluk Allah dan banyak lagi.”

“Hm, betul tu. Alhamdulillah, semakin bertambah ilmu Afiq. Selain itu, Al-Quran juga memberi motivasi. Bila kita sedih, baca Al-Quran rasa tenang. Istighfar, berzikir banyak-banyak. Sesiapa yang mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Kalau kita nak rasa tenang, banyakkan berzikir.”

“InsyaAllah. Afiq nak belajar lagi dengan Atuk. Lepas ni, setiap kali cuti sekolah, Afiq nak duduk dengan Atuk boleh?”Afiq memandang Atuk di sebalik kelam malam.

“Boleh…” Pak Jamal cuma tersenyum memandang cucunya.

Gedebuk!

“Atuk! Ada durian gugur! Jom kita cari!”Afiq melompat turun dari bangku. Dia meninggalkan Atuk di belakang kerana terlalu excited.Pak Jamal hanya menggeleng kepala.

Pekan Baru

“Kenapa Atuk bagi duit dekat peminta sedekah tu? Mama kata diorang tu dihantar oleh agen. Kalau kita bagi duit, duit tu akan diberi kepada agen. Bukan untuk diorang,” ucap Afiq sebaik sahaja melihat Atuk memberi sejumlah wang kepada peminta sedekah jalanan. Tidak puas hati. Mereka ke pekan untuk membeli barang dapur.

“Tak pelah Afiq. Rezeki tu milik Allah. Mungkin tu rezeki mereka. Allah hantar Atuk sebagai orang tengah untuk beri rezeki kepada mereka. Tak kisahlah dihantar oleh agen ke, asalkan kita sumbangkan sebahagian rezeki kita untuk orang yang dalam kesusahan. Afiq kena ingat, rezeki yang kita dapat bukan milik kita seorang. Ada bahagian untuk orang lain. Sebab tu, kita digalakkan bersedekah.”

“Tapi Afiq tak de duit nak sedekah. Macam mana Atuk? Kena mintak daripada Mama dengan Papa ke?” ujar Afiq menggaru kepala. Tidak faham.


“Tak semestinya kena sedekah dengan duit. Untuk budak-budak macam Afiq, boleh sedekah melalui doa, tolong orang lain, tak buat Mama dan Papa marah, tolong Atuk kutip durian pun dikira sedekah.”
“Owh…Baru Afiq faham…”

*****

Afiq membawa keluar kertas lukisan daripada begnya. Di dada kertas lukisan tersebut, ada gambar dirinya, Mama dan Papa. Tangannya melukis sesuatu. Gambar Atuk dan pokok durian. ‘Sehebat Durian’…

No comments:

Post a Comment