Wednesday, 21 November 2012

Jundi Majhul


Beliau sering dilihat setiap petang membawa baldi di tangan kanannya yang dipenuhi dengan campuran cat dinding dengan dua berus cat. Kadang-kadang cat tersebut berwarna hitam, kadang-kadang warna merah. Pada tangan kirinya pula tersemat tongkat kayu buatan jati asli yang setia bersamanya ketika melakukan tugas.

Ketika jalan-jalan di Kaherah yang sesak menjadi lengang. Ketika manusia dengkur diulit mimpi. Ketika kemuncak suhu dingin pada musim sejuk, beliau bangun dari tidur lalu bekerja pada jam 12 tengah malam. Tiada banyak bezanya dengan musim panas. Kerjanya tetap mula tatkala larut malam. Cuma lewat sedikit, jam 2 pagi. Hinggalah azan subuh sebagai wisel penamat bagi pekerjaan beliau pada hari tersebut.


Kerja beliau kerja mencabar dan susah. Bahkan tiada siapa yang membayar upah gaji mahupun menilai hasil kerja beliau. Cukuplah Allah sahaja yang mengganjari segala amalan beliau. Hanya mengharapkan keredhaan Allah S.W.T tiada lain daripada itu. Beliau merupakan salah seorang daripada ahli Ikhwan Mait Ghamr (sebuah daerah dalam Daqhaliyah). Dari Mait Ghamr, beliau berhijrah ke Kaherah untuk berbakti sepenuh hati. Tiada seorang pun yang tahu alamat beliau di Kaherah, kerana beliau menetap di rumah sesiapa sahaja yang baik hati dan mengenali dirinya.

Setiap malam beliau mencari dinding-dinding yang tidak berturap simen kemudian menulis di atasnya kalimah-kalimah barakah. Jika dinding tersebut terlalu tinggi, beliau memanjat batu sepertimana yang dilakukan oleh Ibrahim A.S ketika membina ka’abah bersama anaknya, Sulaiman A.S.

Dengan penuh keiklasan, beliau memulakan contengan pertama. Lafaz barakah terus diukir satu persatu. “Ikhwan Muslimun” Sebesar mungkin, supaya dilihat ramai orang. Kadang beliau menggunakan teknik khat thuluth, kadang farisi, kadang nasakh, kadang riq’ah, kadang diwani. Pada bawah tulisan tersebut ditambah “Dakwah kepada kebenaran, kekuatan dan kebebasan”. Yang pastinya, tulisan beliau cantik-cantik walaupun tidak pernah belajar secara formal. Mungkin ini kelebihan miliknya yang Allah berikan.

Pernah suatu ketika Dr. Mahmud ‘Assaf mengajaknya bekerja dengan membuat kaligrafi arab di syarikat pengiklanan miliknya bagi membolehkan beliau bekerja di siang hari, tetapi ditolak dengan baik atas alasan beliau tidak pandai menulis di atas kertas. Beliau hanya tahu menulis di dinding-dinding sahaja. Mungkin juga beliau tidak mahu dikenali ramai. Mungkin.

Mural tidak berlesen ala-ala graffiti yang beliau tulis sendirian begitu besar kesannya kepada masyarakat. Setiap ahli Ikhwan yang lalu, pasti berasa gembira dengan ‘projek’ tersebut. Susuk tubuh beliau sukar dikesan kerana sifatnya yang sentiasa ke sana-sini. Namun, jika mahu berjumpa dengannya, beliau akan berada berhampiran dengan pintu pejabat Imam Hasan Al-banna antara waktu Maghrib hingga Isya’.

Rentetan daripada hasil seni beliau, ramai mula bertanya “Siapakah Ikhwan Muslimun?”. Ikhwan Muslimun mula dikenali. Buktinya, Markaz Am Ikhwan Muslimun diziarahi oleh orang ramai terutama pada Selasa bagi memperdengarkan Hadith Thulatha’ yang disampaikan sendiri oleh Imam Hasan Al-banna. Maka telah datanglah pertolongan daripada Allah dan berbondong-bondonglah manusia mengikat janji setia, berbaiah untuk tidak lagi melakukan kemungkaran secara terang-terang mahupun sembunyi, bertaubat atas segala perbuatan yang bercanggah dengan agama.

Kadang-kadang tertanya juga atas semangat apakah beliau sanggup berkorban, berhijrah dan menghabiskan masa bekerja dengan pekerjaan yang tidak pernah diketahui umum.

“Tiada bumi yang menyekatnya, dan tiada azab yang menakutkannya.”

Mungkin kata-kata hukama’ ini menjadi dorongan beliau meneruskan kerja mulia tetapi tidak dipandang manusia. Tiada manusia yang mampu melakukannya melainkan jika ianya sudah berada di puncak keikhlasan. Pastinya setiap amalan walau dianggap kecil atau remeh, dipandang besar beliau dan dibuat sepenuh hati. Hakikat keikhlasan mengatasi percaturan manusia yang terbatas. Boleh jadi amalan kecil jika dibuat dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan lebih afdhal dan diterima Allah berbanding Tuan Presiden yang menjaga negara dan rakyatnya.

Beliau yang dimaksudkan adalah Ustaz Muhammad Al-banna. Walaupun beliau bukanlah kerabat Imam Hasan Al-Banna secara dekat, tapi hatinya dan amalannya tetap akur dengan perjuangan Ikhwan Muslimun. Beliaulah Jundi Majhul.

No comments:

Post a Comment