Dari jauh saya nampak dia termenung panjang.Langkah saya atur perlahan, tidak mahu mengganggu lamunannya. Salam saya beri. Dia menyambut dengan senyuman.
“Akak dah habis kerja?”tanyanya.
“Dah.Dah pukul enam ni. Kejap lagi dah nak buka. Bagi akak macam biasa ye.”
Dia angguk.Dan saya lihat matanya berkaca. Perlahan plastik jernih yang disusunnya kemas dia ambil.
“Kenapa Sue?” tanya saya.
“Takde apa-apa kak,” jawabnya dalam senyuman nipis.
“Ceritalah! Mana tahu akak boleh bantu.” Ujar saya cuba memujuknya.
Kali ini air matanya mengalir deras.
“Akak beli air ni sebab akak kasihankan saya ke?” tanyanya dalam tangisan.
Cepat saya menggeleng.
“Kenapa Sue fikir macam tu?”
Air matanya semakin laju.
“Mak cik tadi kata air yang Sue buat tawar. Macam air masak. Kotor pulak tu. Betul ke kak?”
“Astaghfirullahal azim. Takdelah. Akak suka je air Sue buat. Mama akak pun suka. Papa kata air soya Sue cukup semua rasa. Papa siap tambah rasa keikhlasan lagi dalam air Sue.”
“Sue ikut resepi arwah ayah. Dulu arwah ayah selalu pesan, kalau buat soya kena betul-betul jaga kebersihan. Kalau dah berketul-ketul maknanya air soya tu dah basi. Kacang soya pun Sue pilih yang baik-baik. Ayah ajar guna gula perang supaya rasanya lagi sedap. Sue tak pernah pun lebihkan air untuk tipu pelanggan. Sue mahukan keberkatan dalam rezeki Sue.”
“Walau pun Umar tidak mengetahuinya, apakah beerti Tuhan yang menciptakan Umar juga tidak mengetahuinya?” saya menyampuk.
Dia senyum. Saya tahu dia ingat kisah Umar dan anak penjual susu itu.
“InsyaAllah kak. Sue mahu ketepikan pandangan manusia. Sue mahu Allah juga neraca segala perbuatan Sue.”
“InsyaAllah Sue. Sue tak takut ke?
“Takut apa kak?”
“Sue dah bagitahu akak rahsia air soya Sue.”
Dia akhirnya ketawa, menampakkan lesung pipitnya.
“Kita boleh buat bisnes sama-sama nanti kak. Papa akak mesti buka puasa kat surau kan? Tunggu kejap ya kak. Sue nak minta dia tolong bagi air soya ni untuk orang surau.”
“Tak payah la Sue. Biar akak yang beli air soya Sue banyak-banyak dan agihkan pada orang surau.”
“Sue pun nak pahala berganda-ganda juga. Rasulullah bersabda, barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka diamemperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun.”
“Baiklah dik.”
Dia mula sibuk membungkus air ke dalam plastik. Saya hanya memerhati.
Saya masih ingat detik pertama saya mengenalinya dulu. Dia yang bertudung litup menghairankan saya. Saya kira umurnya ketika itu dua belas tahun. Kata-katanya lembut. Senyuman tak lekang dari bibirnya. Dia selalu menolong ayahnya di gerai ini.
Dia banyak mengajar saya. Dia mengajar saya pengertian puasa yang sebenar. Puasa yang bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga. Puasa yang menuntut agar segala deria dijaga. Semua nafsu dijinakkan. Dia mengajak saya berubah. Bertudung litup sebagai memenuhi tuntutan Tuhan. Meninggalkan budaya shopping saya yang melampau. Mengajar saya untuk merindui Ramadan dan bersedih dengan permergiannya.
“Akak.” panggilnya.
“Termenung jauh nampaknya. Fikir baju raya ke? Hari ni Sue dah buat salah. Sue kurang jaga mata Sue. Sue pandang makcik tu dengan penuh kemarahan. Sue patutnya lebih bersabar. Astaghfirullahal azim.”
“Takpe Sue. Banyakkan istighfar. Akak yakin makcik tu jelous dengan Sue je.”
“Akak, tak baik cakap orang macam tu. Mungkin ada salah di pihak Sue juga. Memaafkan kan lebih baik.”
“Baik ustazah. Okeylah Sue, akak balik dulu. Dah nak buka ni. Taknak buka dengan akak? Mama dan papa akak dah banyak kali suruh akak ajak Sue buka sama-sama.”
“Takpelah akak. Sue nak buka dengan mak Sue. Kirim salam mama dan papa akak.”
“Okey. Akak pergi dulu. Assalamualaikum.”
*****
Mak! Saya tak pernah mengenali ibu Sue. Dia pun tidak pernah bercerita panjang. Kali pertama dia menyebut emak di depan saya adalah ketika ramadhan tahun lepas. Itupun kerana saya bertegas mahu membeli air soya yang terakhir. Dalam sendu dia merayu dan meminta maaf. Katanya itu untuk ibunya. Mereka akan berbuka bersama.
Iftar kami hari ini sederhana sahaja. Kata Sue, Tuhan tak suka orang yang membazir. Bulan puasa sepatutnya menjadi bulan untuk nafsu kita dijinakkan, bukan dimanjakan dengan juadah yang pelbagai. Seusai Maghrib saya bersiap ke masjid. Saya tahu Sue juga akan masjid yang sama walaupun saya tak pasti di mana rumahnya.
Selesai solat saya lihat Sue sedang menyandar di dinding masjid sambil memegang kepalanya. Dahinya berkerut seperti sedang menahan kesakitan.
“Kenapa Sue?” tegur saya.
“Takde apa-apa kak. Sakit kepala sikit je.”
“Boleh jalan tak ni? Nak akak hantarkan balik?”
“Takpe kak.”
Sue cuba untuk bangun namun jatuh semula. Cepat saya memegangnya.
“Akak hantarkan okey.”
Dia angguk akhirnya. Kami senyap. Papa dan mama yang sebelum ini sangat teruja untuk berjumpa Sue juga senyap. Mama dan papa mungkin sedang terkejut sepertimana terkejutnya saya kali pertama mengenali Sue.
Sue anak istimewa. Kakinya sedikit tempang. Jari kanannya enam semuanya. Namun bagi saya, Sue jauh lagi sempurna. Dalam umur muda dan kekurangannya, dia mampu berdikari. Tak pernah saya lihat dia meminta. Mencontohi Nabi Daud katanya.
Kami tiba di halaman rumah Sue. Rumahnya lebih daif yang dari saya bayangkan. Gambaran sebuah rumah yang dibina dengan bantuan rakyat-rakyat miskin. Rumah papan usang yang cukup sederhana.
Saya memapah Sue. Mama dan papa hanya menunggu dalam kereta kerana dilarang Sue untuk keluar kerana takut menyusahkan mereka. Salam saya beri tapi tidak bersahut.
“Takde orang kat rumah ni kak,” akhirnya Sue bersuara.
“Mak Sue mana?” tanya saya.
“Mak akan balik insyaAllah.”
Saya hairan tetapi tidak mahu memanjangkan kalam. Biarlah Sue dengan ceritanya. Saya mahu Sue berehat. Sue baring di atas tilam yang dihampar di ruang tamu. Rumah ini ada satu bilik yang lampunya tidak dinyalakan. Saya kira itulah bilik ibu Sue.
“Sue nak apa-apa tak? Ubat ke?”
“Tak pe kak. Sue nak rehat je. Kejap lagi okey la sakit ni. Terima kasih akak. Minta maaf susahkan.”
“Mana ada susahkan. Sue kan dah macam adik akak. Akak yang patutnya lebih prihatin. Akak balik dulu. Nanti kalau apa-apa, call akak okey.”
Dia angguk sambil menghulurkan tangannya.
“Selamat malam Sue. Kirim salam mak Sue.”
Dia angguk sambil melarikan matanya yang berkaca.
*****
Esoknya Sue tidak berniaga. Hati saya penuh gundah. Dan perasaan itu membawa saya kepada Pakcik Hamid. Pakcik Hamid katanya kawan baik arwah ayah Sue. Dia yang selalu menolong Sue mengangkut barang dari rumahnya ke gerai.
“Kamu tak melawat dia ke?”
“Saya segan pakcik. Emaknya kan ada.”
“Ibunya kan dah lama tak balik rumah tu. Lepas arwah ayahnya meninggal, ibunya tinggalkannya. Katanya tak sanggup menjaga anaknya. Ada juga yang kata ibunya dah ada keluarga lain.”
Saya terpana, menginsafi diri yang kurang prihatin. Cepat saya mempamit Pak Hamid. Saya perlu melawat Sue!
Sue menyambut saya dengan senyuman. Saya merasa dahinya. Panas!
Thermometer yang memang sentiasa saya bawa saya letakkan di bawah ketiak Sue. 39.1°C!
“Kita pergi hospital ya Sue.”
“Takpe kak. Sue nak rehat kat rumah je.”
Saya ambil air dan membasahkan tuala.
Sue senyum.
“Ayah cerita masa Sue dua tahun, Sue pernah demam panas. Mesti mak Sue pun buat macam ni jugak kan?”
Saya angguk, cuba menahan air mata.
“Kita pergi hospital okey. Nanti Sue cepat sihat.Boleh buka kedai balik. Akak kalau takde air soya Sue, tak selera nak makan.”
Dia mengalah. Saya lihat dia menangis sepanjang perjalanan .Memori apa yang terbayang di mindanya tidak mampu saya bayangkan. Mungkin kisah hidupnya lebih pedih dari imaginasi saya.
Sue tidur lena bila suhu badannya mula berkurang. Tadi dia meracau menyebut emak. Pasti dia merindui wanita itu.
*****
Papa angguk. Mama juga angguk. Saya senyum.
“Terima kasih mama. Terima kasih papa.”
Langkah saya atur pantas ke gerai Sue. Dia kelihatan sedang melayan seorang pelanggan yang agak berumur.
“Sue!”
“Ya kak!”
“Buka dengan akak ye hari ni. Untuk Ramadan yang terakhir.”
“Tapi...”
“Boleh la Sue?”
“Okey.”
Saya senyum lagi. Rasanya saya tak akan mampu berhenti tersenyum.
Dua hari lepas saya menangis. Gadis kuat itu juga menangis. Melalui papa kami mendapat tahu ibu Sue sudah tiada. Ibunya sudah lama meninggalkan dunia ini. Ramadan lepas ibu tua itu meninggalkan rumahnya. Setelah diberitahu bahawa barah otaknya kian merebak, dia membawa diri kerana tidak mahu menyusahkan Sue. Ibu itu risau detik terakhir hidupnya akan menyusahkan anak istimewanya. Dia akhirnya meninggal di rumah kebajikan itu. Wanita itu sehingga akhir hayatnya masih meminta air soya,mencari yang paling mirip dengan air soya anaknya.
Saya tidak tahu cara untuk menenangkannya. Tapi gadis itu cepat bangkit. Dengan pipi yang masih basah dek air mata dia berkata, “Alhamdulillah kak?”
Saya kaget.
“Alhamdulillah untuk apa Sue?”
“Alhamdulillah. Selama ni Ramadan ajar Sue banyak benda. Dan tahun ni Ramadan ajar Sue bersabar lagi. Tahun lepas Sue belajar bersabar bila mak pergi. Tahun ni Sue belajar bersabar lagi. Alhamdulillah, Allah khabarkan berita insan yang Sue rindu dari pakcik. Walaupun pahit, Sue patutnya gembira. Mak pasti sedang bahagia di sana. Sue sekarang boleh tenang.”
Saya memeluknya erat. Benar, orang yang sabar itu orang yang bersabar saat musibah datang, bukan selepas itu.
“Akak. Penat Sue panggil. Jom kak. Dah nak buka ni.”
“Jom,” Jawab saya, masih tersenyum.
*****
Seusai solat papa menghadap kami semua. Papa senyum. Kami semua tersenyum.
“Nasuha, sebagai seorang muslim, kita imani yang perpisahan di dunia ini hanya sementara. Bagi yang menyayangi kerana Allah, pasti akan berjumpa di sana dalam pertemuan yang kekal.”
Kami angguk.
“Nasuha, kamu tahu pakcik ada seorang je anak. Dan anak ini pernah jauh dari ibu bapanya. Anak ini tak mampu kami jinakkan. Tapi alhamdulillah, Allah kenalkan Nasuha dengan anak pakcik. Dia banyak berubah. Terima kasih Nasuha.”
“Nasuha pasti tahu besarnya pahala dan kemuliaan bagi orang yang memelihara anak yatim. Dan pakcik dan makcik di akhir usia kami terasa masih kurang amal yang terlaksana. Hati pakcik dan makcik lebih tenang kalau boleh melihat Nasuha berada di depan kami, mengecapi sama segala nikmat yang Allah kurniakan pada kami sekeluarga. Jadi Nasuha, pakcik dan makcik mahu jadikan Nasuha anak angkat kami. Duduklah bersama kami.”
Mata Sue berkaca.
“Akak macam mana?”
“Akak mahu kat akhirat nanti kita termasuk orang yang dicemburui para anbiya’ dan syuhada’. Akak sayang Sue kerana Allah dan akak mahu Sue sentiasa dekat dengan akak. Akak dan buatkan baju sedondon dengan akak dah untuk Sue. Kita raya sebagai satu keluarga okey?”
Sue senyap. Kami membiarkan keheningan berbicara. Dari corong surau, azan raya suda berkumandang.
“Baju tu warna apa akak? Muat tak dengan Sue?” Sue akhirnya bersuara. Saya memeluknya erat. Terima kasih Tuhan untuk anugerah Aidilfitri ini.
No comments:
Post a Comment